mutakhir

Dua bos cuai

Kuala Lumpur: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) meminta kerajaan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Ketua Pengarah Jabatan Sisa Pepejal Negara (JSPN).

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia kerana mereka didapati cuai dan gagal sebagai Ahli Jawatankuasa Penilaian Teknologi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan yang menilai pelaksanaan projek membina lima insinerator bernilai lebih RM200 juta seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Katanya, tindakan sama juga perlu diambil terhadap dua pakar yang terbabit dalam pemilihan teknologi serta perancangan pelaksanaan projek terbabit yang gagal disiapkan dan tidak beroperasi mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan.

“Loji insinerator Pulau Pangkor walaupun dikatakan beroperasi sepenuhnya namun kecekapan operasi jauh daripada kepatuhan kontrak sedia ada.

“Manakala tiga loji lain iaitu di Cameron Highland, Pulau Tioman dan Pulau Langkawi walaupun sudah siap namun PAC masih belum mendapat laporan mengenai prestasi semasa loji itu sementara tapak loji di Labuan pula terbengkalai.

“PAC tidak boleh menerima maklum balas kementerian mengenai kegagalan operasi syarikat terbabit mematuhi kontrak dengan alasan ia mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya di Parlimen, di sini, semalam.

Katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dalam pemberian kontrak pembinaan kelima-lima insinerator terbabit secara rundingan terus kepada syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT).

“Siasatan juga mendapati jawatankuasa berkenaan hanya menilai teknologi itu berdasarkan cadangan atas kertas tanpa membuat lawatan tapak kepada projek printis di Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Pewaja Steel dan prototaip di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata, kementerian perlu memastikan loji insinerator yang siap dibina dapat digunakan dan beroperasi mengikut kesesuaian iklim, lokasi, spesifikasi kontrak, tempoh masa ditetapkan dan meyakinkan rakyat dan pengguna.

“Kaedah perolehan secara tender terbuka perlu dilaksana dalam perolehan pembinaan dan operasi loji insinerator pada masa depan supaya syarikat dan teknologi berwibawa dan terkini dapat diperoleh,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2014 @ 5:06am
d