mutakhir

Gesa siasatan dipercepat

Moscow: Presiden Vladimir Putin dan Perdana Menteri Australia Tony Abbott semalam menggesa siasatan dipercepatkan membabitkan tragedi nahas pesawat MH17 namun dua pemimpin itu dilihat mengelak daripada berkonfrantasi.

Abbott sebelum ini dilaporkan mahu bersemuka dengan Putin mengenai kejadian itu yang melihat 298 maut di timur Ukraine, termasuk 38 penduduk dan warga Australia.

“Tragedi pesawat Malaysia itu memang topik utama dibincangkan di antara Abbott dan Putin.

“Dua pemimpin itu masing-masing menggesa supaya siasatan terhadap punca kejadian itu dipercepatkan. Tindakan menghalang pasukan pakar memasuki tempat kejadian adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Sejak awal lagi Putin menegaskan keinginan Russia supaya siasatan dilakukan secara berkecuali, cepat dan berkesan,” kata Kremlin dalam satu kenyataan selepas dua pemimpin itu bertemu pada persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Beijing.

Sementara itu, jurucakap Putin, Dmitry Peskov memberitahu agensi berita kebangsaan RIA Novosti bahawa Abbott nampaknya tidak akan melaksanakan ugutannya untuk mengasari Putin berhubung tragedi itu.

“Nampaknya Abbott tidak membuat sebarang cubaan untuk melakukannya,” katanya.

Kemarahan rakyat Australia selepas nahas terbabit dikaitkan dengan penggunaan senjata Russia oleh puak pemisah Russia menyebabkan beberapa pihak menganggap Putin sepatutnya dilarang daripada memasuki negara itu pada persidangan G20 di Brisbane.

Namun Abbott yang mahu memastikan G20 terus memfokuskan isu ekonomi memilih untuk menemui Putin di Beijing terlebih dulu untuk menyelesaikan isu berkenaan supaya tidak mengganggu sebarang perbincangan ketika APEC.

Selain itu, kata Kremlin, Putin turut membincangkan krisis di Ukraine, Iran dan Syria bersama Presiden Amerika Syarikat (AS) President Barack Obama.

Disiarkan pada: November 12, 2014 @ 5:12am
d