mutakhir

Berair mata lafaz talak

Kuala Lumpur: Perkahwinan yang baru menjangkau usia setahun sebulan di antara penerbit filem terkenal, Raja Azmi Raja Sulaiman dan suaminya, Mohd Eddie Ghazali akhirnya bernokhtah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, semalam.

Mohd Eddie, 46, yang sebak melafazkan talak satu itu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Raja Azmi, 55, kelmarin.

Raja Azmi memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Suasana di dalam mahkamah bertukar sedih apabila pasangan itu bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Mohd Eddie melafazkan cerai.

Mohd Eddie yang memakai kemeja ungu dan berseluar hitam dilihat sebak sehingga menitiskan air mata sebelum melafazkan cerai terhadap Raja Azmi.

Shaiful Azli kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan plaintif menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama daerah Gombak Timur dan sijil nikah dibatalkan.

Pada prosiding itu, Mohd Eddie tidak diwakili peguam manakala Raja Azmi yang anggun berbaju kurung pucuk hijau pisang dan berselendang hitam diwakili peguam syarie Roslizam Rahim.

Mereka hadir bersama-sama dengan menaiki sebuah kereta pada jam 2.30 petang dan pulang sejam selepas prosiding kes itu.
Terdahulu ketika prosiding bermula, Roslizam memaklumkan mahkamah pihaknya menyerahkan saman kepada Mohd Eddie selaku defendan semalam.

Berdasarkan fakta kes, Roslizam berkata pasangan itu sudah tidak mempunyai persefahaman di dalam perkahwinan dan wujudnya shiqa’ (perbalahan) berpanjangan.

“Perkahwinan pihak-pihak sudah tiada sakinah, mawaddah dan rahmah. Mereka sudah berbincang hati ke hati dan bersetuju menamatkan perkahwinan ini sekiranya dibenarkan mahkamah. Pihak-pihak sudah tidak tinggal bersama sejak 19 Ogos lalu hingga kini,” katanya.

Selepas membenarkan permohonan itu, mahkamah menasihati pasangan itu supaya mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi dan tidak ulangi lagi kesalahan lalu.

Pasangan itu dinikahkan pada 13 Oktober tahun lalu dalam satu majlis gilang-gemilang di Laman Santai, Istana Budaya.

Sementara itu, Mohd Eddie ketika ditemui media selepas prosiding melahirkan rasa sedih dengan perceraian itu namun perlu menerimanya.

Ditanya adakah dia dan Raja Azmi akan kembali bersatu semula, Mohd Eddie tidak menolak sekiranya perkara itu terjadi.

Raja Azmi pula berkata, dia reda dengan ketentuan Allah kerana terpaksa mengharungi perceraian kali kedua.

“Buat kali kedua, perkahwinan Kak Mi gagal lagi. Kak Mi lebih sedih terhadap abang Eddie kerana ini (cerai) kali pertamanya. Kali ini kak Mi lebih tenang namun perasaan sedih tetap ada,” katanya.

Disiarkan pada: November 12, 2014 @ 5:16am
d