mutakhir

Penguatkuasaan saja tak cukup: Gani

Putrajaya: Kecenderungan kumpulan militan yang merekrut anggota baru menggunakan media sosial memerlukan agensi penguatkuasaan undang-undang melakukan ‘counter messaging’ terhadap laman sosial sama ada Facebook (FB) atau Twitter milik kumpulan ekstremis.

Ketua Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, agensi penguatkuasaan tidak boleh menangani kegiatan kumpulan ekstremis secara bersendirian, sebaliknya kekuatan politik sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri harus dinyatakan secara mutlak.

“Memandangkan ini adalah isu ideologi berbanding isu agama yang tulen, masyarakat, pemimpin muda dan agama serta sektor swasta perlu juga memainkan peranan untuk menangani ancaman kepada keamanan sosial dan keharmonian nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap tama bertajuk Cabaran Masa Kini Dalam Mengekalkan Keamanan Sosial dan Keharmonian Nasional-Nota Kritikal sempena Persidangan Undang-Undang Kebangsaan Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), di sini, semalam.

Persidangan dua hari berakhir hari ini dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri. Turut hadir, Ketua Pengarah ILKAP Lee Lay Choo.

Sementara itu, Abdul Gani berkata, undang-undang baru bukanlah penyelesaian optimum untuk mengekalkan keamanan sosial dan keharmonian nasional dalam negara.

Mengambil contoh pengalaman di United Kingdom, beliau berkata, perubahan sikap masyarakat adalah satu proses yang perlahan dan undang-undang hanya berkesan jika ia dilaksanakan dengan betul, sementara pengalaman dari Kanada mendapati kepelbagaian budaya menggalakkan keharmonian kaum dan etnik serta pemahaman budaya silang.

“Akhirnya, pilihan untuk mengekalkan model keamanan sosial dan keharmonian nasional negara terletak pada tangan rakyat Malaysia sendiri.

“Pilihan juga berada pada tangan sendiri untuk menunjukkan siapa diri kita sebenarnya. Kita perlu percaya untuk jangka masa panjang, Malaysia akan melakukan yang terbaik,”katanya.

Beliau berkata, memang tidak boleh dipertikaikan undang-undang bukanlah penyelesaian untuk semua masalah sosial kerana mengikut pakar etika dan profesor undang-undang Charles Samford undang-undang tidak berubah dan mengawal tingkah laku manusia.

Abdul Gani turut menggariskan pelbagai cabaran yang dihadapi negara untuk memastikan keamanan sosial dan keharmonian nasional dapat dicapai, termasuk sikap tidak bertoleransi antara agama dan kaum serta salah faham.

Menurutnya, cabaran lain adalah peranan yang dimainkan ahli politik, agama dan pemimpin masyarakat serta media massa.

Sementara itu Nancy berkata, kerajaan akan sentiasa bertindak bijak dan telus ketika menggubal dan meminda undang-undang, termasuk mengambil kira pandangan daripada pelbagai orang awam dan pihak berkepentingan supaya ia memberi manfaat kepada semua pihak.

Katanya, kerajaan juga tidak akan berkompromi dengan kestabilan, keharmonian dan perpaduan yang dikecapi sejak sekian lama.

Disiarkan pada: November 12, 2014 @ 5:17am
d