mutakhir

Caj penuh di hospital untuk warga asing

Kuala Lumpur: Pekerja warga asing di negara ini dikenakan caj rawatan penuh di hospital secara berperingkat mulai tahun depan berbanding kos dikenakan ketika ini iaitu hanya 30 peratus saja.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kenaikan secara berperingkat itu dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun sehingga 2017.

“Kita ada dua kumpulan pekerja asing iaitu yang datang melalui sistem rasmi. Mereka ini melalui dua saringan perubatan dan sebelum dapat permit majikan diwajibkan membeli insurans untuk mereka.

“Yang menjadi isu ialah warga asing tanpa izin yang bekerja di negara ini dan mereka tidak melalui apa-apa saringan kesihatan dan berisiko membawa pelbagai penyakit.

“Mereka ini tidak mempunyai jaminan dan jika masuk ke dalam sistem kita, mereka perlu membayar untuk perkhidmatan kesihatan selaras yang dikenakan dalam sistem sebelum ini. Namun begitu, mereka hanya membayar 30 peratus saja dari caj keseluruhan.

“Jadi melalui jemaah menteri, kita buat keputusan bahawa mulai tahun depan secara berfasa iaitu dalam tempoh tiga tahun akan datang warga asing akan dikenakan caj rawatan penuh.

“Itu bermaksud ia bermula dengan kenaikan 30 peratus tahun depan, diikuti 30 peratus lagi pada 2016 dan kenaikan 40 peratus lagi pada 2017.

“Ini menjadikan caj yang dikenakan akan meningkat dua kali ganda menjelang 2017, ” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 peringkat jawatankuasa Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, semalam.

Disiarkan pada: November 13, 2014 @ 5:02am
d