mutakhir

Wanita hilang telefon terima ugutan berbaur seks

Kuala Terengganu: Seorang wanita hidup dalam ketakutan selepas diperas ugut RM1,000 selain diminta melakukan hubungan seks beramai-ramai jika mahu mendapatkan semula telefon bimbit jenis iPhone 5 miliknya yang hilang.

Mangsa yang berusia 32 tahun itu menerima SMS dihantar suspek ketika berada di rumahnya di Bandar Marang jam 12.15 tengah malam, semalam.

Menurut sumber, sebelum diperas ugut, mangsa yang berada di sebuah resort di Kuala Ibai, di sini, jam 3.30 petang pada Isnin lalu kehilangan telefon bimbitnya.

Katanya, mangsa yang mengesyaki telefon bimbitnya tercicir cuba mencari, tetapi gagal sebelum mengambil keputusan beredar dari restoran berkenaan.

“Mangsa juga beberapa kali menghubungi telefon bimbitnya, namun tidak dijawab sebelum menghantar SMS ke nombor telefon bimbitnya jam 10 malam hari sama ketika berada di rumah dan meminta sesiapa yang menjumpai telefon bimbitnya menghubunginya.

“Bagaimanapun, suspek hanya membalas SMS mangsa dua jam kemudian dengan dua permintaan yang melampau.

“Suspek berjanji akan memulangkan telefon bimbit itu jika mangsa memberi wang RM1,000 kepadanya serta melakukan hubungan seks bersamanya dan rakan-rakannya,” katanya.

Sumber berkata, mangsa mendakwa suspek masih menghantar SMS kepadanya dan nekad membuat laporan di Balai Polis Marang untuk tindakan lanjut kerana bimbang keselamatan diri selain mahu mendapatkan semula telefon bimbitnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Wan Abd Aziz Wan Hamzah yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Disiarkan pada: November 13, 2014 @ 5:02am
d