mutakhir

Istana idaman 2 artis veteran

Kuala Lumpur: “Takutlah saya nak cakap dulu. Saya tak nak komen banyak buat masa ini. Insya-Allah, tapi janganlah kecoh-kecoh dulu,” ulas dramatis Fadilah Mansor mengenai ura-ura majlis perkahwinannya dengan penyanyi 60-an Datuk A Rahman Hassan, hujung tahun ini.

Fadilah, 54, yang dihubungi berkata, sebagai wanita dia tidak berani bercerita lanjut mengenai butiran majlis itu demi menghormati permintaan A Rahman, 67.

Katanya, dia juga segan untuk mencanangkan hal itu kerana faktor usia mereka boleh menimbulkan perasaan kurang selesa kepada masyarakat jika perkara itu digembar-gemburkan.

“Apa yang saya boleh kongsi kalau umur dah macam ini kalau canang-canang sangat seganlah nanti orang kata over (keterlaluan) pula.

“Jadi saya ikut saja perancangan abang (A Rahman). Dia tak nak bising-bising dulu sampailah kami betul-betul sedia untuk berkongsi nanti,” katanya.

Sumber mendakwa, Fadilah dan penyanyi kumpulan pop yeh-yeh, Orkes Nirwana itu bakal melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis ringkas di sini pada Disember ini.

Ura-ura itu diperkukuhkan lagi apabila Harian Metro menerima gambar baju pengantin perempuan yang dipercayai bakal digunakan Fadilah pada majlis berkenaan kelak.

Difahamkan, pasangan duda dan janda ini mula berkawan selepas mereka hadir pada satu majlis hiburan, beberapa bulan lalu.

Fadilah yang juga bekas isteri kepada pengarah filem veteran Ahmad Ibrahim atau Mat London sudah empat tahun bergelar ibu tunggal memiliki dua anak hasil perkahwinan itu.

Manakala A Rahman pula bapa tunggal kepada tiga anak termasuk pelakon dan pengarah Khir Rahman, selepas isterinya Datin Azizah Mohamad penyanyi 60-an meninggal dunia pada 26 April tahun lalu akibat kanser.

Fadilah berkata, dia terbuka hati untuk menerima lamaran itu kerana sikap rendah hati dan penyayang dalam diri A Rahman.

Sementara itu, A Rahman meminta agar cerita perkahwinan itu tidak digembar-gemburkan ketika ini sehingga pihaknya bersedia untuk membuka mulut.

Disiarkan pada: November 13, 2014 @ 5:03am
d