mutakhir

Landasan fahami Malaysia

Timbalan Perdana Menteri Malaysia berkata, GMSN@ANU akan menjadi platform penting bagi sarjana dalam bidang pengajian mengenai Malaysia untuk menjalankan kajian menyeluruh dan memberi maklumat seimbang mengenai politik, ekonomi dan masyarakat Malaysia.

“Saya percaya penyelidikan akademik yang bebas, objektif dan mendalam mengenai pelbagai aspek kehidupan politik dan sosial akan membantu masyarakat antarabangsa memahami lebih baik mengenai Malaysia dan mengelak pandangan serong terhadap negara kita,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Australian National University dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sekali gus menandakan pelancaran GMSN@ANU di Australian University di sini, semalam.

Acara ini sebahagian daripada lawatan kerja tiga hari Muhyiddin di Canberra dan Perth sehingga hari ini.

Muhyiddin mengumumkan kerajaan Malaysia melalui UKM akan menyumbang AUD150,000 (RM436,500) setiap tahun kepada GMSN@ANU selama lima tahun untuk menyediakan dana penyelidikan dan kerjasama akademik lain dalam bidang pengajian mengenai Malaysia.

Institut Kajian Etnik (KITA) UKM sebagai rakan sejawat Malaysia GMSN@ANU juga akan menerima RM500,000 setiap tahun daripada kerajaan Malaysia.

Disaksikan Muhyiddin, MoU itu ditandatangani Naib Canselor dan Presiden ANU Prof Ian Young, Dekan Kolej ANU bagi Asia dan Pasifik Prof Veronica Taylor, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Pengarah KITA Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Muhyiddin berkata, beliau gembira melihat penubuhan sebuah program khas mengenai pengajian Malaysia, yang beliau bincangkan dengan Young dan Dr John Funston, seorang ahli akademik terkemuka semasa lawatannya ke ANU pada 2011, kini menjadi realiti.
– BERNAMA

Disiarkan pada: November 13, 2014 @ 5:03am
d