mutakhir

Ajal dihempap bumbung

Georgetown: Malang nasib seorang pekerja apabila maut dihempap bumbung konkrit yang runtuh di sebuah kilang membuat peralatan komputer di Zon Peridustiran Bebas, Bayan Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, Wan Ahmad Nadzari Wan Mokhtar, 48, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Difahamkan, mangsa yang bekerja syif malam, sedang berjalan menuju mesin perakam waktu selepas meletakkan motosikalnya di tempat parkir.

Bagaimanapun, bumbung konkrit kilang berkenaan tiba-tiba runtuh menyebabkan mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dipanggil, namun selepas kerja menyelamat dilakukan, mangsa ditemui di bawah runtuhan tetapi sudah tidak bernyawa.

Timbalan Pengarah JBPM negeri Mohamad Shoki Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.58 petang dan anggotanya mengeluarkan mayat mangsa jam 7.28 malam.

“Tiada mangsa lain terbabit dan kami masih menyiasat punca kejadian,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja yang mahu dikenali sebagai Shamsul, 20-an, berkata dia terdengar dentuman kuat lalu bergegas ke tempat kejadian.

“Ketika itu hujan renyai dan sejurus mendengar bunyi kuat, saya serta beberapa pekerja lain yang berada dalam kilang, berlari keluar.

“Kami terkejut melihat mangsa berada di bawah runtuhan sebelum menghubungi bomba dan ambulans,” katanya.

Sementara itu, adik ipar mangsa, Rozimah Mohamad, 40, berkata dia mendapat tahu mengenai kejadian selepas dimaklumkan anak saudaranya menerusi panggilan telefon.

“Ketika kejadian, dia dikatakan berada betul-betul di bawah bumbung yang runtuh itu. Wan Ahmad Nadzari mempunyai empat anak dan sudah 10 tahun bekerja di kilang ini,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Disiarkan pada: November 13, 2014 @ 5:11am
d