mutakhir

Sindiket judi nomad

Kuala Lumpur: Sindiket perjudian haram dikesan berpindah rumah apabila menukar lokasi kegiatan di hotel bajet dan rumah tumpangan bagi mengelak diberkas polis.

Malah, sindiket turut memperkenalkan perjudian Internet secara bergerak menggunakan komputer riba dan tablet.

Mereka dikesan berpindah randah susulan serbuan besar-besaran polis menerusi Operasi Dadu (Ops Dadu) yang dijalankan terhadap pusat perjudian seluruh negara sejak bulan lalu.

Terbaru petang kelmarin, sepasukan polis Daerah Wangsa Maju menyerbu dua unit bilik hotel bajet di Jalan Tun Razak di sini, yang dikesan menjadi markas perjudian haram.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil pemeriksaan dijalankan menemui empat set komputer riba mengandungi perisian perjudian.

Katanya, dalam serbuan berkenaan pihaknya turut menahan dua wanita tempatan yang ditugaskan menjaga operasi perjudian itu.

“Sejak kebelakangan ini kami mengesan banyak sindiket perjudian Internet mengubah modus operandi mereka dengan menjalankan kegiatan di lokasi tidak dijangka seperti hotel bajet atau premis kediaman bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Bagaimanapun menerusi maklumat awam dan hasil risikan dijalankan, kami berjaya mengesan kegiatan perjudian itu walaupun mereka cuba memindahkan tempat operasi ke kawasan lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini, semalam.

Sementara itu dalam serbuan berasingan Isnin lalu, pihak polis turut menyerbu sebuah pusat snuker di Jalan Tun Razak di sini, dan menahan seorang lelaki berusia 28 tahun.

Polis turut merampas enam tablet pelbagai jenama mengandungi perisian permainan berbentuk perjudian.

Katanya, semua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Disiarkan pada: November 13, 2014 @ 5:11am
d