mutakhir

Bukan sekadar sedap

Kuala Lumpur: “Kami amat mengutamakan kebersihan di semua aspek di medan selera kami kerana mahu pelanggan rasa selesa dan selamat menikmati masakan gerai-gerai yang ada,” kata Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Kompleks Makan Bukit Gedung Bayan Lepas, Pulau Pinang Rosbi Hassan.

Beliau berkata, terdapat 45 gerai di kompleks berkenaan yang menyediakan pelbagai juadah termasuk nasi campur, nasi ayam dan sup yang enak.

Semua peniaga, katanya, bekerjasama menjaga aspek kebersihan dari penyediaan makanan dan fizikal medan selera bernilai RM1.5 juta itu.

“Selepas lebih tiga tahun dinaik taraf, kompleks kami terus menjadi tumpuan orang ramai selain mereka yang baru tiba di Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas,” katanya ditemui selepas Majlis Anugerah Medan Selera Bersih, Selamat dan Sihat 2014 Peringkat Kebangsaan, di sini, semalam.

Pertandingan itu bagi menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan tahap kebersihan di medan selera selenggaraan mereka.

Pada pertandingan yang julung kali diadakan itu, Kompleks Makan Bukit Gedung di bawah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dinobatkan pemenang Kategori B (medan selera dengan premis 31 unit ke atas) yang menerima hadiah wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan.

Tempat kedua dimenangi Medan Selera Casual Market Taiping, Perak (Majlis Perbandaran Taiping) yang menerima RM2,500, plak dan sijil manakala ketiga Medan Selera Setiawangsa di sini milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (RM2,000, plak dan sijil).

Bagi Kategori A (medan selera dengan premis 31 unit ke bawah) pula diungguli Medan Selera Taman Tasik Puchong Perdana, Puchong di Selangor (Majlis Perbandaran Subang Jaya) yang menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, plak dan sijil penghargaan.

Sementara Kompleks Medan Selera Ikan Bakar, Port Dickson (Majlis Perbandaran Port Dickson) mendapat tempat kedua (RM1,500, plak dan sijil) diikuti Medan Selera Laman Perdana, Presint 1 di Putrajaya milik Perbadanan Putrajaya (RM1,000, plak dan sijil).

Pengerusi Medan Selera Taman Tasik Puchong Perdana Shahidan Hashim berkata, kemenangan mereka kerana menitikberatkan tahap kebersihan selain selamat dan sihat dalam menyediakan makanan untuk pelanggan.

Disiarkan pada: November 14, 2014 @ 5:11am
d