mutakhir

Cebisan mayat MH17 ditemui

The Hague: Pakar forensik Belanda menemui cebisan mayat baru di lokasi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 jatuh ditembak di timur Ukraine.

Anggota badan mayat mangsa pesawat itu ditemui di lokasi kejadian selepas bangkai pesawat berkenaan diangkat menggunakan kren.

Kementerian Pertahanan Belanda dalam satu kenyataan semalam berkata, pakar negara itu sedang melakukan siasatan lebih lanjut berhubung kejadian yang mengorbankan 298 penumpang pesawat itu pada 17 Julai lalu.

Pasukan itu berharap dapat menemui baki serpihan pesawat malang itu secepat mungkin berikutan pertempuran antara puak bertelingkah di kawasan itu masih berlaku.

Cebisan mayat yang ditemui itu akan dihantar ke Kharkiv, Ukraine, untuk menjalani pemeriksaan forensik sebelum dihantar pulang ke Belanda.

Pegawai pasukan pakar Belanda itu, Pieter-Jaap Aalbersberg berkata, kumpulan kecil yang diketuainya sudah 

melakukan sebaik mungkin untuk mengesan cebisan dan bahagian badan mangsa pesawat selain mendapatkan barang peribadi penumpang serta kru.

“Untuk meneruskan usaha itu, peralatan berat diperlukan dan juga pakar forensik,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2014 @ 5:12am
d