mutakhir

Tunggu undang-undang dikuatkuasa

Putrajaya: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menjalankan urusan Kajian Semula Persempadanan bagi bahagian pilihan raya negeri Sarawak sejurus undang-undang mengenai pertambahan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dikuatkuasakan Perlembagaan Negeri Sarawak.

Kajian semula itu dibuat selaras keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang meluluskan pindaan Undang-Undang ke atas Fasal 2 Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sarawak berhubung komposisi keanggotaan DUN daripada 71 kerusi kepada 82 kerusi.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kajian itu dibuat selaras dengan peruntukan Fasal 3A Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh bilangan ahli dipilih bagi Dewan Undangan sesuatu Negeri diubah berikutan dengan suatu undang-undang yang diperbuat oleh badan perundangan sesuatu negeri.

Beliau berkata, berdasarkan Fasal 6 Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan pula, urusan kajian semula terbahagi kepada tiga unit berasingan iaitu negeri Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

“Namun, urusan persempadanan bagi negeri Sarawak boleh dilakukan secara berasingan daripada unit lain.

“Oleh kerana tempoh lapan tahun bagi negeri Sarawak sudah cukup, maka urusan persempadanan bagi negeri Sarawak ini tertakluk kepada peruntukkan Fasal 3B Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Disiarkan pada: November 14, 2014 @ 5:12am
d