mutakhir

Mati langgar tayar

Kuantan: Seorang pengawal keselamatan maut selepas motorsikal ditunggang melanggar tayar treler yang tiba-tiba terpelantingke atas jalan di Kilometer 10 Jalan Pintasan Kuantan-Gambang, berhampiran Gebeng, dekat sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan mangsa, Mohd Amran Asparudin, 25, dari Kampung Peramu, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku apabila Mohd Amran yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari tempat kerjanya di Gebeng, dekat sini menuju ke rumahnya.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, tayar belakang treler yang datang dari arah Kuantan menuju ke Pelabuhan secara tiba-tiba tercabut dan terpelanting lalu memasuki laluan bertentangan.

“Mangsa gagal mengelak tayar berkenaan melanggar tayar itu menyebabkannya tercampak ke bahu jalan sebelum orang ramai yang menyaksikan kejadian segera menghulurkan bantuan,” katanya, ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, ambulans tiba ke tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian, namun pegawai perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Peramu, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

“Siasatan awal mendapati, mangsa yang masih bujang menunggang motorsikal berseorangan dan kemungkinan dalam perjalanan ke rumahnya di Kampung Peramu, di sini, selepas tamat waktu kerja,” katanya.

Mohd Noor berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan daripada pemandu treler dan saksi kejadian bagi melengkapkan siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pada masa sama, kita juga sudah mengambil sampel darah dan air kencing pemandu treler berkenaan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2014 @ 5:13am
d