mutakhir

Peniaga kasut terjatuh ke laut

Yan: Seorang peniaga kasut berusia 20 tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut ketika sedang berehat di tepi Jambatan Pulau Bunting, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang, mangsa, Mohd Syazwan Mahamad yang berasal dari Kampung Kuala Sedaka, di sini, pergi ke jambatan pulau berkenaan bersama rakannya selepas berniaga di pasar pagi Sungai Limau, di sini.

Mangsa yang menunggang motosikal berasingan dengan rakannya itu menuju sehingga ke tengah jambatan sebelum berhenti untuk mengambil angin di situ.

Menurut rakan mangsa, Mohd Fahmi Zulkifli, 21, selepas tiba di tengah jambatan, mereka berdua duduk saling bertentangan di atas tembok yang terletak di sisi kiri dan kanan jambatan berkenaan.

“Kami tidak banyak berborak ketika itu kerana masing-masing sedang membelek telefon bimbit masing-masing. Ketika saya sedang asyik melayan telefon bimbit, secara tiba-tiba saya dikejutkan dengan bunyi percikan air yang kuat dari arah bawah jambatan.

“Saya terkejut sebaik mendapati kawan saya itu sudah tiada di tempat duduknya dan terdengar suara dia menjerit meminta tolong sambil memberitahu tidak pandai berenang.

“Saya panik ketika itu dan cuba untuk terjun bagi menyelamatkannya, namun hasrat saya itu dihalang oleh pemancing yang turut berada di situ kerana bimbang saya juga akan lemas,” katanya yang ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Mohd Fahmi berkata, beberapa pemancing yang kebetulan berada di tempat kejadian cuba menghulurkan tali kepada mangsa, namun dia tidak dapat mencapai tali berkenaan sehingga tenggelam ke dalam laut.

Bapa mangsa, Mahamad Ismail, 63, berkata, anak kesembilan daripada 11 beradik itu baru saja pulang ke rumah kira-kira seminggu lalu selepas berhenti kerja sebagai tukang masak di sebuah restoran makanan Korea di Pulau Pinang.

“Saya langsung tidak menyedari sebarang perubahan yang ditunjukkan anak, cuma dia ada beritahu sudah berhenti kerja,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamad Yunus Abu berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu pada jam 2.12 petang.

Disiarkan pada: November 14, 2014 @ 5:13am
d