mutakhir

Keluarga tak dendam

Seremban: Keluarga murid prasekolah yang terjatuh dari tingkat dua bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tasik Jaya, Senawang, di sini, kelmarin, tidak berdendam kepada mana-mana pihak sebaliknya reda dengan nasib menimpa anak mereka itu.

Bapa mangsa, Faizul Khairy Zulkifli, 38, berkata, fokusnya kini untuk memastikan keadaan anaknya, Adam Zikri, 6, pulih semula daripada kecederaan dialaminya.

“Keutamaan saya sekeluarga ketika ini adalah supaya anak selamat dan kembali pulih. Dia sering menangis kerana kesakitan, namun saya bersyukur dia selamat.

“Selain itu saya juga akan menguruskan perkara berkaitan termasuk mengenai tuntutan insurans anak,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, keluarganya memanjatkan kesyukuran apabila keputusan pengimbasan tomografi berkomputer (CT scan) dan imbasan magnetik resonan (MRI) dilakukan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, malam kelmarin, mendapati Faizul Khairy tidak mengalami komplikasi serius akibat kesan terjatuh.

“Dia baru selesai menjalani pembedahan pagi tadi (semalam) dan menerima 12 jahitan di kepala. Selain itu doktor juga menyimen tangan kiri dan paha kanan.

“Saya tidak tahu bila anak dibenarkan keluar dari hospital. Saya berharap dia pulih segera,” katanya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa yang mahu dikenali Nurul, 29, berkata, setiap hari Adam Zikri dan abangnya yang juga murid tahun tiga sekolah sama akan menunggu ibu mereka di koridor tingkat dua sebaik tamat persekolahan.

“Kakak ipar saya adalah guru di sekolah berkenaan dan kebiasaannya jam 1 petang kedua-dua anaknya itu akan menunggu untuk pulang ke rumah di Lavender Heights, Senawang,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2014 @ 5:14am
d