mutakhir

Dah boleh bercakap

Seremban: Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang parah selepas terjatuh dari tingkat dua Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Tasik Jaya, Senawang, dekat sini, Rabu lalu, semakin pulih dan mampu bercakap dengan jelas.

Bapanya, Faizul Khairy Zulkifli, 38, berkata, tangan dan kaki Adam Zikri, akan disimen di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) Isnin ini.

“Adam kerap menangis kerana menahan sakit setiap kali prosedur menarik tulangnya yang patah. Menurut doktor, anak saya tidak perlu dibedah, tetapi kaki dan tangannya disimen untuk proses pemulihan.

“Adam juga sudah boleh bercakap dengan jelas dan boleh bercerita serta ingat bagaimana kejadian sebenar berlaku,” katanya, semalam.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari, mangsa dikatakan naik ke tingkat dua untuk mencari ibunya yang juga guru di sekolah berkenaan.

Mangsa patah tangan kiri dan kaki kanan serta cedera pada tulang punggung sebelum dikejarkan ke HTJS, di sini, untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menyiasat kes itu bagi melengkapkan Kertas Enkuiri Polis (KEP).

“Kami mengambil keterangan semua saksi yang berkaitan dan mendapat gambaran sebenar bagaimana kejadian itu berlaku. KEP akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, polis menafikan khabar angin murid prasekolah yang ditemui parah di SK Taman Tasik Jaya, Senawang, di sini, dicampak dari tingkat dua bangunan itu sebaliknya mangsa terjatuh ketika bermain dengan seorang lagi murid di situ.

Disiarkan pada: November 15, 2014 @ 5:09am
d