mutakhir

Remaja mati dikelar

Sandakan: Berang diejek sebagai pelarian, seorang wanita hilang pertimbangan apabila mengelar leher seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menggunakan pisau pemotong daging sehingga maut dalam kejadian di Flat Golden Gate, Jalan Batu Sapi, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 5.20 petang, mangsa yang dikenali sebagai Emalin Al, ditemui terbaring berlumuran darah di dalam bilik tidurnya dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Duchess of Kent (HDOK).

Difahamkan, suspek berusia 27 tahun berdendam dengan keluarga mangsa akibat sering diejek sebagai pendatang.

Suspek kemudian mengambil kesempatan ke rumah mangsa yang juga jirannya, apabila mendapati gadis terbabit tinggal seorang diri.

Sejurus bertemu, suspek dikatakan sempat menasihati mangsa supaya berhenti mengejeknya, namun tidak diendahkan.

Suspek yang mulai berang melibas pisau dibawanya sebanyak dua kali dan mengenai leher mangsa.

Ibu mangsa yang pulang ke rumah terkejut apabila mendapati anaknya berlumuran darah di dalam bilik lalu dibawa ke hospital.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, suspek ditahan dalam tempoh kurang 24 jam selepas melakukan perbuatan itu.

“Siasatan awal mendapati, motif kejadian disebabkan dendam apabila sering menjadi mangsa ejekan keluarga mangsa.

“Suspek dikatakan sempat menasihati mangsa supaya tidak lagi mengejeknya sebelum membunuhnya,” katanya.

Zabidi berkata, pemeriksaan di tempat kejadian menemui cap jari suspek dan akhirnya ditahan untuk siasatan lanjut.

“Polis turut berjaya merampas pisau pemotong daging sepanjang 14 sentimeter dipercayai digunakan dalam kejadian ini.

“Suspek kini masih ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2014 @ 5:36am
d