mutakhir

Jabatan Pendidikan tunggu laporan

Arau: Jabatan Pendidikan Perlis belum menerima laporan lengkap berhubung kejadian kemalangan membabitkan lapan pelajar tingkatan tiga hingga lima dan dua guru Sekolah Menengah Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, di sini, malam kelmarin.

Pengarahnya Dun Kasa, bagaimanapun mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan mangsa dikatakan menaiki sebuah van milik salah sebuah sekolah menengah, di sini.

“Saya difahamkan mereka baru selesai menjalani kursus Pegawai Waran Kadet Remaja Sekolah (KRS) di sebuah Pusat Kokurikulum di Sepang, Selangor dan kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Perlis.

“Pihak kami juga difahamkan terdapat tiga mangsa cedera parah membabitkan pemandu yang berada di tempat duduk depan, seorang guru pengiring dan seorang pelajar perempuan, manakala penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Bagaimanapun, sehingga kini kita belum menerima laporan lengkap mengenai status kecederaan dialami mangsa,” katanya ketika ditemui di Karnival Penglibatan Ibu Bapa Komuniti di Dataran Dato Sheikh Ahmad, di sini, semalam.

Kata beliau, pihaknya sudah mengarahkan pegawai untuk melakukan siasatan dan mendapatkan maklumat lengkap mengenai mangsa-mangsa sebelum sebarang bantuan daripada pihak JPP dapat disalurkan.

“Kita menyerahkan siasatan lanjut sepenuhnya kepada pihak polis dan berharap semua pihak tidak melakukan sebarang spekulasi berhubung kejadian,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2014 @ 5:45am
d