mutakhir

Rebah lepas dirompak

Gua Musang: “Dia masih elok ketika perompak itu merentap rantai lehernya namun menghembuskan nafas terakhir apabila saya keluar mendapatkan bantuan jiran,” kata Hamzah Doll, suami kepada Sabariah Yusof yang meninggal dunia selepas berlakunya rompakan di rumahnya di Kampung Lembaga, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, tiga perompak dipercayai warga Bangladesh memecah masuk rumah warga emas terbabit ketika mereka tidur di dalam bilik.

Hamzah, 77, berkata, ketiga-tiga lelaki itu turut mengacukan pisau di lehernya sebelum mengikat tangan, kaki dan menutup mulutnya dengan tali leher, manakala Sabariah, 70, yang uzur hanya terbaring, namun rantai leher emasnya direntap hingga putus sebelum dilarikan.

Katanya, penjenayah turut membawa lari wang tunai RM3,000 yang disimpannya bersama beberapa barang kemas lain.

“Isteri saya ada penyakit jantung dan sebelum ini beberapa kali ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Ketika kejadian memang dia terkejut dan takut apatah lagi perompak itu mengacukan pisau ke leher saya.

“Tapi selepas mereka pergi Sabariah tenang dan sempat mengekori saya ke dapur untuk meminta bantuan jiran. Namun sebaik saya mahu memasuki rumah, saya lihat dia rebah dan seperti sesak nafas di pintu dapur.

“Semuanya berlaku dengan pantas dan beberapa minit selepas itu, Sabariah menghembus nafas terakhir akibat serangan jantung,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Hamzah berkata, dia percaya perompak yang menyamun rumahnya adalah warga Bangladesh berikutan muka yang tidak ditutup dan bahasa Melayu yang dituturkan mempunyai pelat warga negara itu.

Katanya, semua lelaki itu menghabiskan masa sejam menyelongkar dan mencari barang berharga sebelum melarikan diri dipercayai menggunakan kereta.

“Saya memang tidak mampu melawan mereka apatah lagi ketika mereka masuk melalui pintu dapur yang diumpil, kami sedang tidur. Hanya ketika mereka menendang pintu bilik membuatkan kami terkejut.

“Ketika itu, seorang daripada mereka sudah mengacu pisau di leher saya dan yang lain mengikat tangan, kaki dan menutup mulut saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, siasatan masih dijalankan dan pihaknya kini sedang memburu suspek berdasarkan keterangan mangsa.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat dan dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lembaga, petang semalam.

Disiarkan pada: November 17, 2014 @ 5:13am
d