mutakhir

Kematian remaja disahkan akibat lemas

Kuala Lumpur: Seorang remaja, Khairul Fadzmi Shahrulnizam, 19, yang ditemui mati selepas disamun dan dibelasah sekumpulan mat rempit dalam kejadian di Taman Tasik Setapak, di sini Khamis lalu disahkan maut akibat lemas, selain terdapat kesan kecederaan dipercayai dipukul dengan benda tumpul pada belakang kepalanya.

Walaupun saksi memaklumkan ada melihat mangsa ditikam oleh seorang daripada mat rempit yang dianggarkan seramai 20 orang itu, namun bedah siasat yang dijalankan menunjukkan mangsa hanya mengalami kecederaan di belakang kepala manakala tiada kesan tikaman pada tubuh mangsa.

Ada kemungkinan saksi melihat seorang daripada mat rempit berkenaan memukul mangsa menggunakan kunci pencegah kecurian motosikal atau Fork Lock dan rantai motosikal kerana polis kini sedang mengesan peralatan berkenaan.

Siasatan polis juga menunjukkan mangsa ditolak ke dalam lombong di kawasan kejadian selepas dibelasah akibat enggan menyerahkan barangan berharga dan telefon bimbit kepada mat rempit berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Deputi Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) mendapati suspek meninggal dunia akibat lemas dengan kesan kecederaan di belakang kepala.

Katanya, kecederaan di kepala mangsa dipercayai akibat dipukul menggunakan ‘fork lock’ dan rantai motosikal dalam serangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Asmadi berkata dua lagi suspek kes berkenaan menyerah diri di Balai Polis Wangsa Maju, petang kelmarin.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 14 dan 15 tahun terbabit menyerah diri di balai berkenaan kira-kira jam 3 petang Sabtu lalu menjadikan jumlah suspek yang ditahan berhubung kes terbabit kepada sembilan orang setakat ini.

“Lanjutan daripada penahanan semua suspek ini, polis sudah mengenalpasti beberapa lagi suspek.

“Polis juga sudah merakamkan percakapan ibu bapa beberapa suspek yang dikenalpasti dan ada di antara mereka yang takut pulang ke rumah sejak kejadian terbabit.

“Polis percaya kumpulan ini hanya membabitkan 14 orang suspek sahaja dan lima lagi masih diburu polis. Kita percaya kes ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, polis kini giat memburu seorang suspek berusia 15 tahun yang dipercayai menyimpan barang kes iaitu pengunci ‘fork lock’ dan rantai motosikal berdasarkan keterangan sembilan suspek yang ditahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam Khamis lalu, mangsa Khairul Fadzmi Shahrulnizam, 19, bersama lima lagi rakannya diserang sekumpulan lelaki bermotosikal dengan bersenjatakan besi, kayu dan topi keledar disyaki cuba menyamun mereka.

Ketika diserang mangsa dipercayai terjatuh ke dalam lombong sebelum disahkan meninggal dunia akibat lemas.

Disiarkan pada: November 17, 2014 @ 5:20am
d