mutakhir

Intip kaki rasuah

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menempatkan pegawainya di Cameron Highlands bagi meningkatkan pengawasan dan pemantauan supaya jenayah rasuah di kawasan itu dapat ditangani secara holistik, kata timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Katanya, langkah itu dibuat susulan pemeriksaan pihaknya yang dijalankan sejak Mei tahun lalu mendapati tidak ada pusat yang khusus dan sistematik untuk orang ramai membuat aduan dengan berkesan berhubung aktiviti pembukaan kawasan pertanian secara haram dan mengenai elemen rasuah.

Mohd Shukri berkata, sementara menunggu penempatan pegawai secara tetap di kawasan berkenaan diluluskan kerajaan, SPRM akan meletakkan pegawainya di kawasan itu secara sementara secepat mungkin.

“SPRM telah memutuskan untuk menempatkan pegawai SPRM di Cameron Highlands bagi meningkatkan pemantauan secara dekat.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada SPRM dan memberi sokongan padu bagi menangani isu serius di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, walaupun SPRM menerima aduan dan maklumat dari semasa ke semasa, SPRM menghadapi masalah kekurangan bukti yang kukuh.

“Disebabkan kekurangan bukti walaupun menerima maklumat daripada orang ramai, SPRM menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan telah menjalankan pemeriksaan untuk mengenal pasti punca yang membawa kepada isu di Cameron Highlands.

Pada 5 November lalu, kejadian banjir lumpur berlaku di Ringlet dan Lembah Bertam, Cameron Highlands yang dipercayai turut disumbang oleh faktor penerokaan tanah haram di kawasan itu sehingga meragut lima nyawa manakala lima lagi cedera.

Mohd Shukri berkata, SPRM sudah, sedang dan akan terus menjalankan satu daripada fungsi utamanya iaitu menyiasat setiap kes rasuah.

“SPRM pernah membawa kes rasuah di Cameron Highlands ke mahkamah, di mana pada 2013, SPRM sudah mendakwa peneroka haram yang cuba memberi sogokan kepada pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands,” katanya.

Katanya, SPRM menyambut baik kenyataan Kerajaan Negeri Pahang bahawa pihaknya akan melaksanakan syor dikemukakan SPRM sebelum ini bagi menangani isu Cameron Highlands dengan beberapa syor tersebut telah pun diambil kira Kerajaan Negeri Pahang untuk dilaksanakan.

“Pada masa yang sama, SPRM juga menyambut baik langkah penyelesaian yang diputuskan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan Kabinet. Pendirian Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Persekutuan ini menunjukkan bahawa isu Cameron Highlands memerlukan pendekatan holistik dan kerjasama padu semua pihak, bukan hanya di pihak SPRM semata-mata,”katanya.

SPRM sebelum ini mengemukakan cadangan bagi mengekang jenayah rasuah di sebalik penerokaan haram di Cameron Highlands antaranya penubuhan pasukan petugas dan mewujudkan dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing. – BERNAMA

Disiarkan pada: November 17, 2014 @ 5:20am
d