mutakhir

Tindakan tegas guna racun terlarang

Bera: Tindakan tegas akan dikenakan terhadap petani dan pengusaha ladang sayur-sayuran di kawasan Cameron Highlands yang menggunakan racun terlarang hingga boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk melakukan siasatan dan pemantauan penggunaan racun berkenaan dalam kalangan petani supaya tidak berleluasa.

Katanya, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang aduan rasmi mengenai penyalahgunaan racun terlarang dan berbahaya oleh pengusaha kebun sayur di Cameron Highlands atau kawasan lain.

“Pihak kementerian akan turun padang memantau dan menyiasat jika terbukti ada pengusaha ladang sayur menggunakan racun terlarang untuk sayur-sayuran mereka.

“Kementerian tidak akan berkompromi dengan pengusaha kebun sayur terbabit dan tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands R Ramakrisnan konon ada pengusaha kebun sayur menggunakan racun terlarang.

Ramakrisnan mendakwa ada pengusaha sayuran menggunakan beberapa racun terlarang seperti jenis DDT dan Aldrine yang boleh memberikan ancaman kesihatan kepada penduduk.

Terdahulu, Ismail Sabri merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Peralatan Ternakan kepada pengusaha ternakan di Parlimen Bera dan penyampaian sijil pusat penyembelihan Pahang di perkarangan Pejabat Veterinar, semalam.

Disiarkan pada: November 17, 2014 @ 5:20am
d