mutakhir

Teguran PAC beri kesan positif

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: “Siapa kata Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) tiada taring? Tindakan PAC tidak ada apa-apa reaksi positif daripada kementerian? Saya rasa reaksi itu patut dianggap tidak betul,” tegas Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Menurut Nur Jazlan, beliau melihat teguran yang dibuat oleh PAC terhadap agensi serta kementerian sejak tahun lalu memberi respon positif terutama ada di antara kementerian yang mengambil inisiatif sendiri untuk mengambil tindakan sebelum dipanggil dalam prosiding PAC.

Katanya, dia berpuas hati dengan perkembangan itu setakat ini dan ia menggambarkan tahap keseriusan kementerian serta agensi terbabit terhadap Laporan Audit Negara yang dikeluarkan.

“Sejak PAC mula tugas dalam Parlimen yang baru ini, nampaknya tindakan diambil Ketua Setiausaha Negara dan ada kementerian nampaknya mendahului PAC.

“Sebagai contoh dalam laporan Kementerian Dalam Negeri, mereka mula membuat operasi mengaudit syarikat sekuriti sejak akhir tahun lalu sampai tahun ini. Isu timbul dalam prosiding Kementerian Pendidikan.

“Kadangkala PAC belum panggil, mereka sudah ambil tindakan lebih awal, ini satu perkembangan baik. Jadi, siapa kata PAC tidak ada taring. Tindakan dari KSN dan Ketua Setiausaha (KSU) bermotivasi tinggi untuk menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku dan ini juga melambangkan keseriusan mereka kepada laporan audit negara dan prosiding PAC sendiri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAC bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Parlimen, di sini, semalam.

Disiarkan pada: November 18, 2014 @ 5:07am
d