mutakhir

Penganggur tak mengaku ugut ibu

Kota Bharu: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap pertuduhan mengugut ibunya dengan pisau, Jumaat lalu.

Tertuduh, Muhammad Nasrul Hadi Ramli, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan di hadapan Majistret Nik Habri Muhamad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat ugutan jenayah dengan mengacukan pisau sambil berkata: “Nok (nak) beri duit ko (ke) nak aku katok (pukul) dulu” terhadap Hasanah Omar, 57, di sebuah rumah lot 531, Kampung Langgot Dewan Beta, di sini pada jam 4 petang, 14 November 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noor Dayana Mohamad tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh dengan alasan mangsa adalah ibu tertuduh.

Tertuduh bagaimanapun merayu dibenarkan diikat jamin.

Nik Habri membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan syarat hanya ibu tertuduh dibenarkan menjadi penjamin.

Mahkamah menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: November 18, 2014 @ 5:09am
d