mutakhir

Ajal ketika memandu

Bentong: Seorang lelaki berusia 37 tahun meninggal dunia selepas diserang sakit jantung ketika memandu kereta di Jalan Ketari, di sini, pagi semalam.

Adik ipar lelaki itu, Mohamad Jeffri, 20, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa, Rosazalan Hanafi secara tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika mereka dalam perjalanan pulang dari pasar borong di sini ke rumah mereka di FELDA Lakum, Lanchang, Temerloh.

“Arwah yang memandu kereta Proton Wira itu pada mulanya memegang dada sambil mengerang menahan kesakitan. Kemudian, dia terus pengsan.

“Mujur saya yang duduk di kerusi penumpang hadapan sempat memaut stereng dan memberhentikan kenderaan di bahu jalan. Hanya Allah yang tahu perasaan saya ketika itu apabila anak abang ipar saya yang duduk di kerusi penumpang belakang menangis ketakutan.

“Bagaimanapun, saya reda apabila Rosazalan disahkan sudah meninggal dunia oleh anggota perubatan yang tiba tidak lama kemudian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dia yang bekerja sebagai tukang kebun berkata, sebelum kejadian, mangsa mengajak menemaninya ke pasar bagi membeli periuk nasi dan barangan dapur.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia tidak melihat sebarang perubahan pada diri Rosazalan dan mereka berbual-bual bagi mengelak abang iparnya itu berasa mengantuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Mohammad Mansor Mohd Nor mengesahkan menerima laporan dan mengklasifikasikannya sebagai kes mati mengejut.

Disiarkan pada: December 1, 2014 @ 5:08am
d