mutakhir

Padah kahwin lelaki baran

Kuala Lumpur: Padah jatuh cinta dan berkahwin dengan seorang lelaki warga Uzbekistan menyebabkan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun kerap dipukul serta dikurung suaminya sejak hampir dua tahun lalu.

Mangsa yang dilayan seperti hamba abdi akhirnya berjaya melarikan diri sebelum membuat laporan di Balai Polis Chow Kit di sini, semalam.

Sumber polis berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan sendiri itu sering dibelasah malah akan dikurung di rumah sekiranya mangsa cuba keluar dari rumah bersendirian.

Menurutnya, mangsa yang tertarik pada rupa paras lelaki itu di awal perkenalan tidak menyangka suaminya akan berubah sikap menjadi ‘panas baran’ dan kuat cemburu selepas berkahwin.

“Dalam kejadian terkini semalam, mangsa dan suaminya nyaris kemalangan ketika pulang ke rumah sejurus lelaki terbabit ‘naik angin’ mendadak.

“Lelaki terbabit dikatakan bengang selepas mangsa masuk ke dalam kereta terlebih dahulu sebelumnya. Susulan itu lelaki terbabit memandu kereta secara berbahaya,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang cuba menasihati suami sebaliknya ditengking sebelum dihempuk kepalanya pada cermin hadapan dan stereng.

“Mangsa dikurung di dalam bilik di rumah mereka. Lelaki itu turut menyembunyikan kunci kereta, rumah, beg duit, dokumen peribadi mangsa termasuk pasportnya bagi mengelak mangsa melarikan diri,” katanya.

Sumber berkata, suspek turut mengugut akan membakar rumah dan kereta sekiranya mangsa cuba keluar dari rumah itu.

“Kejadian seumpama itu sudah kerap kali berlaku dan mangsa membiarkan dirinya dipukul berulang kali hanya kerana perselisihan faham kecil.

“Bagaimanapun mangsa berjaya keluar dari rumah sebelum tampil membuat laporan di Balai Polis Chow Kit di sini,” katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2014 @ 5:09am
d