mutakhir

Panglima ATM cipta sejarah

New Delhi: Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengukir sejarah tersendiri apabila diberi penghormatan sebagai pegawai tabik hormat perbarisan pentauliahan pegawai kadet Akademi Tentera Sri Lanka semalam.

Ini kali pertama dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia, panglima diberi penghormatan sebagai pegawai tabik hormat bagi perbarisan pentauliahan Akademi Tentera Sri Lanka.

“Angkatan Tentera Sri Lanka dan Angkatan Tentera Malaysia mempunyai hubungan rapat dan mesra. Pembabitan aktif dan kerjasama rapat mewujudkan semangat setia kawan yang kukuh,” katanya dalam ucapannya di Colombo, Sri Lanka semalam.

Pentauliahan membabitkan 132 pegawai Sri Lanka dan tiga pegawai dari Sudan.

Zulkifeli berada di Sri Lanka kerana menghadiri Dialog Panglima-panglima Angkatan Tentera Negara Asia Selatan dan Asia Tenggara (SASEAN).

“Saya tidak meragui jemputan mempengerusikan perbarisan pentauliahan anda bukti hubungan istimewa antara kedua-dua angkatan tentera kita yang akan memacu persahabatan ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Bagi pegawai kadet baharu, Zulkifeli berkata, adalah penting bahawa mereka terus belajar, dan mempelajari semula pelajaran penting yang akan diperoleh mereka sepanjang kerjaya dalam ketenteraan.

“Sentiasa ingat bahawa menuntut ilmu adalah proses yang tidak berkesudahan.

“Penghormatan yang dianugerahkan kepada kamu adalah amanah suci yang Kerajaan Sri Lanka untuk mempertahankan kedaulatan, integriti dan melindungi rakyat,” kata beliau.

– BERNAMA

Disiarkan pada: December 1, 2014 @ 5:10am
d