mutakhir

Anjing gonggong anggota mayat reput

Bukit Mertajam: “Saya sangka kekecohan di depan bengkel tempat bekerja kerana kemalangan, namun selepas meneliti rakaman CCTV (kamera litar tertutup) saya dapat lihat dengan jelas seekor anjing menggonggong tangan manusia,” kata P Karthi, 33.

Karthi, mekanik sebuah bengkel jentera pembinaan itu antara individu terawal yang menemui sepasang tangan dan kepala manusia sudah berulat serta mula mereput yang dibuang dalam kawasan semak di hadapan bengkel tempat dia bekerja.

Anggota tubuh manusia itu ditemui berhampiran simpang masuk ke Taman Machang Bubok, di sini, iaitu tidak sampai 100 meter dari Balai Polis Machang Bubok, kira-kira jam 3.40 petang semalam.

Tangan dan kepala manusia itu diisi dalam plastik warna hitam dan bau daging yang sudah mereput itu menarik perhatian anjing yang menggonggong tangan kiri berkenaan sebelum tercicir di tepi jalan dan disedari orang awam yang kemudiannya melaporkan penemuan itu kepada polis.

“Selepas melihat CCTV, saya melihat aksi haiwan itu menggonggong tangan manusia.

“Saya keluar untuk melihat dengan lebih dekat dan pemeriksaan dilakukan dalam kawasan semak itu membawa kepada penemuan sebelah lagi tangan dan kepala manusia sudah mereput serta berulat,” katanya.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Asisten Komisioner R S Gunarajan berkata, berdasarkan keadaan anggota badan itu, ia dipercayai sudah dibuang di kawasan itu sejak seminggu lalu.

Beliau berkata, Unit Anjing Pengesan (K-9) turut dipanggil untuk mengesan sekiranya ada lagi anggota badan manusia yang dibuang di kawasan sama, namun pemeriksaan selama dua jam tidak menemui sebarang petunjuk.

Gunarajan berkata, pihaknya akan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap anggota badan berkenaan untuk memeriksa sekiranya ia mempunyai kaitan dengan penemuan beberapa lagi anggota badan manusia dalam beberapa kejadian sebelum ini.

Disiarkan pada: December 2, 2014 @ 6:13am
d