mutakhir

Sasar penurunan kes baru HIV

Kuala Lumpur: Kerajaan komited untuk mengurangkan jangkitan HIV baru kepada 11 kes bagi setiap 100,000 penduduk menjelang akhir tahun depan selepas menyaksikan penurunan kes yang konsisten sejak 12 tahun lalu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pada tahun lalu, hanya 11.4 kes baru HIV daripada 100,000 penduduk direkodkan berbanding 28.5 kes pada 2002.

“Pada tahun ini setakat September lalu, 2,525 kes baru HIV dilaporkan dan berdasarkan jumlah ini adalah diunjurkan 3,367 kes baru sehingga akhir tahun ini dengan kadar jangkitan 11.2 bagi setiap 100,000 penduduk.

“Melihat kepada penurunan yang berterusan ini, adalah menjadi harapan kementerian untuk menyaksikan hanya 11 kes baru HIV bagi setiap 100,000 penduduk menjelang akhir tahun depan,” katanya pada sambutan Hari AIDS Sedunia Peringkat Kebangsaan 2014 dengan tema Menuju Sifar, Tanggungjawab Bersama, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Kawalan Penyakit dan Ketua Sektor HIV/AIDS Kementerian Kesihatan Dr Ashaari Ngadiman.

Dr Subramaniam menambah, sehingga September lalu, 104,197 kes jangkitan HIV dilaporkan, 21,111 menghidap AIDS dan 16,918 kematian, menjadikan jumlah orang yang hidup dengan HIV (PLHIV) seramai 87,279 orang.

Menurutnya sejak tiga tahun lalu, 4,854 kes jangkitan HIV berpunca daripada hubungan seksual termasuk 1,767 adalah hubungan sejenis.

“Sejajar dengan itu, kerajaan akan terus melipatgandakan pelbagai usaha untuk menangani HIV merangkumi kemudahcapaian kepada pencegahan, rawatan, penjagaan dan sokongan sosial.

“Antaranya termasuk menyediakan ujian saringan di semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang diberikan secara percuma,” katanya.

Disiarkan pada: December 2, 2014 @ 7:41am
d