mutakhir

Terbakar 'hidup-hidup'

Kuala Lumpur: Seorang pemandu kereta mati terbakar ‘hidup-hidup’ sejurus kereta dipandu menghentam konkrit pembahagi jalan di Jalan Loke Yew, Cheras, di sini.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi semalam, mangsa yang cedera parah sejurus kemalangan tidak sempat menyelamatkan diri apabila kereta Toyota Vios dipandunya marak dijilat api.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an rentung dan tidak sempat dibantu orang awam yang turut berada di lokasi kejadian ketika itu.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan dari pusat bandar menuju ke Cheras sebelum kereta dipandu laju itu terbabas dan merempuh konkrit pembahagi jalan di laluan kiri.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kebakaran mendadak itu berpunca akibat rempuhan kuat kenderaan berkenaan.

Menurutnya, api merebak dengan pantas dan membakar keseluruhan kereta itu serta merta.

“Anggota Bomba dan Penyelamat berjaya memadamkan kebakaran sebelum membantu mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan.

“Mayat mangsa ketika itu masih berada di tempat duduk pemandu. Malah, kaki kirinya putus akibat kebakaran itu,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, polis kini sedang mengesan waris mangsa berdasarkan rekod pendaftaran kenderaan dan memohon orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 7.46 pagi sebelum tiba tujuh minit kemudian.

Azizan berkata, usaha memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mangsa yang terperangkap berjaya dilakukan anggotanya dalam tempoh masa 30 minit.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 3, 2014 @ 8:17am
d