mutakhir

Henti sebar gambar 'suspek' kes samun

Kota Bharu: “Jangan buat spekulasi. Serahkan kepada polis dan biar kami menyiasat habis-habisan,” kata Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pihak tertentu yang menyebar gambar individu yang dikaitkan dengan kejadian samun dan toreh muka mangsa berusia 22 tahun dalam kejadian di Wakaf Berangan, Pasir Puteh, Ahad lalu.

Mazlan menegaskan, siasatan kes itu masih lagi berjalan dan setakat ini pihaknya belum mengenal pasti suspek dipercayai lelaki warga tempatan.

“Selagi siasatan masih berlangsung, janganlah semua pihak membuat spekulasi berhubung kes ini. Kita masih mengesan dua suspek terbabit dan keterangan mangsa juga sudah diambil.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh melaporkannya kepada mana-mana balai polis terdekat dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

“Tindakan suspek melampau apabila menoreh muka mangsa selepas menyamun dia dan ibunya,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini, semalam.

Beliau terdahulu meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa kejadian itu Hat Tema Mat Zin, 58, yang masih menerima rawatan selain anaknya Nur Shafiqa Lah, 22, yang matanya ditumbuk dan pipi kiri ditoreh.

Disiarkan pada: December 3, 2014 @ 8:58am
d