mutakhir

Baik pulih jalan runtuh seminggu

Slim River: Sebuah syarikat konsesi jalan negeri, Empayar Indera Sdn Bhd dilantik oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menjalankan kerja membaik-pulih tebing jalan setinggi lebih 40 meter yang runtuh di Batu 4, Jalan Kuala Slim, dekat sini, Isnin lalu.

Ahli Parlimen Tanjung Malim Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, kerja membaik pulih kawasan tebing berkenaan dijangka mengambil masa seminggu untuk memastikan jalan itu kembali selamat dilalui pengguna.

Katanya, syarikat yang dilantik mungkin memerlukan tempoh sebulan untuk menyiapkan sepenuhnya tebing jalan itu selain perlu menjalankan kajian lanjut bagi memastikan kejadian sama tidak berulang kembali.

“Kebocoran paip air dan saluran air bawah tanah dari bukit di tepi jalan berkenaan dipercayai faktor menyumbang kepada jalan terbabit runtuh dan pihak syarikat akan menggunakan kaedah terbaik bagi memastikan tebing jalan itu kukuh dengan bahan yang mampu menahan tebing daripada runtuh kembali.

“Peruntukan berjumlah RM300,000 akan digunakan untuk menjalankan kerja membaik-pulih tebing jalan dan saya juga memohon JKR serta syarikat dilantik memantau perkembangan semasa keadaan jalan itu memandangkan musim hujan masih berlarutan di kawasan ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Menurutnya, jika terdapat lagi runtuhan pada tebing jalan, JKR dan syarikat konsesi perlu mengambil tindakan segera seperti menutup kembali laluan terbabit daripada digunakan penduduk kerana bimbang boleh mengancam nyawa.

Katanya, peruntukan tambahan juga akan disalurkan jika perlu memandangkan jalan terbabit adalah laluan utama bagi penduduk di sini dan FELDA Besout serta yang tinggal berhampiran sempadan Perak-Selangor.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Slim Shukri Radzi Mat Said, 44, berkata, hasil perbincangan dengan JKR Daerah Tanjung Malim, semalam, pihaknya dimaklumkan jalan yang runtuh itu hanya selamat digunakan untuk kenderaan ringan saja.

“Saya dimaklumkan jika hujan lebat berterusan, JKR akan menutup kembali laluan itu demi keselamatan penduduk dan semua pengguna jalan diingatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2014 @ 8:48am
d