mutakhir

15 keluarga dipindahkan

Slim River: Selepas jalan utama di Batu 4, Kuala Slim, di sini, runtuh, penduduk di kawasan terbabit kini terpaksa berdepan dengan bencana banjir kilat yang menyebabkan 42 penduduk dari 15 keluarga di Kampung Kuala Slim terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir lewat petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, kesemua mangsa ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Slim, di sini, selepas kediaman mereka dinaiki air banjir setinggi satu meter susulan hujan lebat yang turun pada jam 3 petang dan mengakibatkan air Sungai Bernam dan Sungai Slim naik mendadak sebelum melimpah.

Seorang penduduk, Ahmad Nan, 51, berkata, sebahagian barangan di dalam rumahnya gagal diselamatkan berikutan air naik terlalu cepat dan hanya sempat menyelamatkan barangan dan dokumen penting saja.

Katanya, dia bernasib baik kerana anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) membantunya memindahkan barang ke bahagian atas rumah.

“Barangan perabot dan elektrik banyak yang rosak kerana tidak sempat untuk dipindahkan, namun saya bersyukur kerana kami sekeluarga selamat.

“Kami kini sudah pulang ke rumah, namun saya masih mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan hujan di kawasan ini masih belum reda dan dikhuatiri air naik semula,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ketua Kampung Kuala Slim Shukri Radzi Mat Said, 44, berkata, penduduk kampung yang terjejas dipindahkan secara berperingkat dengan keluarga terakhir dipindahkan pada jam 12 tengah malam.

“Semua mangsa dipindahkan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Slim River, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), RELA dan polis selain Jabatan Kebajikan Masyarakat yang turut membantu menguruskan mangsa di pusat pemindahan,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2014 @ 8:50am
d