mutakhir

Kabinet reput ragut nyawa

Teluk Intan: “Saya mendengar bunyi kucing bergaduh di ruang tamu disusuli dentuman kuat sebelum memeriksa keadaan dan mendapati televisyen 29 inci menghempap anak bongsu,” kata Nita Saidin, 47, ibu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang maut dihempap televisyen di rumahnya di Batu 7, Jalan Changkat Jong, di sini, kelmarin.

Anaknya, Siti Norain Maisarah disahkan meninggal dunia jam 8 pagi, semalam, ketika mendapatkan rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI), di sini.

Dalam kejadian jam 11.15 malam, mangsa tidak sedar diri dan mengalami perdarahan di mulut serta hidung selepas dihempap televisyen yang dianggarkan seberat 33 kilogram.

Nita berkata, ketika kejadian, mereka sekeluarga baru pulang ke rumah yang juga kuarters pekerja sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit, di sini, selepas membeli-belah barangan keperluan dapur di bandar Teluk Intan.

“Sebaik tiba, tiga daripada empat anak saya masuk ke bilik tidur manakala Siti Norain tidur berhampiran rak televisyen di ruang tamu.

“Saya pula sibuk mengemaskan barangan yang dibeli di dapur dan suami, Romli Othman, 47, mandi di bilik air.

“Pada mulanya saya dengar kucing bergaduh di dalam rumah dan sejurus itu saya terdengar bunyi dentuman kuat dari ruang tamu. Saya terus memeriksa sebelum terkejut melihat kabinet bersama peti televisyen bersaiz 29 inci berada di atas badan anak,” katanya.

Menurutnya, dia menjerit memanggil suaminya dan mereka berdua mengangkat televisyen berkenaan.

“Selepas televisyen dialihkan, saya lihat darah mengalir keluar dari mulut dan juga hidung arwah dan kami bergegas membawa arwah ke HTI yang terletak kira-kira 38 kilometer dari rumah kami.

“Ketika dalam perjalanan, arwah masih bernyawa, namun dia meninggal dunia pagi tadi (semalam) ketika menerima rawatan,” katanya.

Nita berkata, walaupun sedih dengan tragedi yang berlaku, dia sekeluarga reda dan pasrah dengan pemergian arwah yang juga anak bongsu daripada lima beradik.

Menurutnya, anaknya yang lain masing-masing berusia sembilan, 12, 17 serta 24 tahun dan mereka sekeluarga baru tiga tahun berpindah ke kawasan terbabit dan suaminya bekerja di kilang sawit berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika dihubungi berkata, siasatan mendapati kabinet digunakan untuk meletak televisyen yang jatuh itu sudah reput di bahagian bawah selain turut dilapik dengan kayu pada kakinya kerana lantai rumah tidak rata.

“Hasil bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati kematian disebabkan kecederaan parah di kepala.

“Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dituntut keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: December 4, 2014 @ 9:04am
d