mutakhir

Rugi RM5,000 koyak peraduan

Kuala Lumpur: Seorang wanita berusia 36 tahun kerugian RM5,000 selepas diperdaya sindiket ‘koyak dan menang’ dalam kejadian di Kepong, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, mangsa dilapor membuat pembayaran berkenaan kepada seorang lelaki berusia 20-an sebaik suspek mendakwa wanita terbabit memenangi hadiah utama sebuah kereta Toyota Camry.

Sumber berkata, ketika kejadian, mangsa yang baru selesai membeli-belah di pasar raya di kawasan berkenaan didatangi seorang lelaki.

“Mangsa yang bersendirian diminta mengoyakkan satu kertas peraduan. Dia (mangsa) yang tidak curiga akur kepada permintaan lelaki terbabit. Suspek kemudian mendakwa mangsa memenangi sebuah kereta Toyota Camry.

“Teruja dengan dakwaan lelaki itu, mangsa bersetuju untuk pergi ke pejabat suspek yang terletak di kawasan berhampiran,” katanya.

Sumber berkata, sebaik tiba di pejabat suspek, mangsa diarahkan membayar RM10,000 untuk tujuan dokumentasi bagi mendapatkan kereta berkenaan.

“Disebabkan dia (mangsa) tidak mempunyai wang, wanita itu hanya menyerahkan wang sebanyak RM5,000. Sebaik menerima bayaran itu, suspek mendakwa mangsa sebenarnya hanya memenangi sebuah tilam.

“Biarpun meminta semula wangnya, suspek enggan mengembalikannya. Namun, suspek mendakwa pihaknya akan menjual tilam berkenaan yang berharga RM42,000 dan akan menyerahkan wang itu kepadanya,” katanya.

Menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kepong, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Disiarkan pada: December 5, 2014 @ 8:26am
d