mutakhir

Bongkar sindiket 'pasu' heroin

Kota Bharu: Taktik sindiket pengedaran dadah menyembunyikan dadah jenis heroin bernilai RM44,000 dalam pasu dan kereta terbongkar dalam serbuan di Kampung Belimbing, Tanah Merah, kelmarin.

Dalam serbuan jam 3.45 petang itu, tiga lelaki termasuk dalang utamanya berusia 35 tahun ditahan di rumah berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Superintendan Mit Emong berkata, dalam operasi bersepadu khas itu, dua botol plastik mengandungi dadah jenis heroin ditemui dalam pasu bunga manakala 20 botol lagi mengandungi dadah sama ditemui di bawah tempat duduk pemandu Proton Iswara Aeroback.

Menurutnya, dadah seberat 64.2 gram itu dipercayai diperoleh dari negara jiran untuk pasaran negeri ini dan Terengganu.

“Siasatan mendapati kegiatan itu dilakukan sejak tiga bulan lalu dan ketiga-tiga suspek berusia antara 24 hingga 35 tahun.

“Suspek yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai buruh berasal dari Tanah Merah itu mempunyai empat rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 39A(1), Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.

Katanya, hasil ujian saringan awal terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah.

“Semua suspek kini direman hingga 9 Disember bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Dengan tangkapan dan rampasan itu, polis berjaya melumpuhkan kegiatan berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2014 @ 9:06am
d