mutakhir

Sudah salah, naik angin pula

Johor Bahru: Seorang pemandu teksi bertindak ganas menyerang dua anggota polis bantuan selepas suspek tidak berpuas hati ditegur serta diminta mengalihkan teksinya di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 8.45 pagi, pemandu teksi yang dipercayai memandu secara merbahaya dikesan meletakkan teksinya di kawasan dilarang.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, dua anggota polis bantuan BSI muncul dan memintanya memindahkan teksi secara baik.

Menurutnya, suspek yang berang dengan teguran itu bertindak menyerang dengan menarik kolar pakaian seragam polis bantuan berkenaan sebelum berlaku insiden pergaduhan.

“Suspek dilaporkan menendang polis bantuan terbabit sebelum seorang anggota polis trafik datang membantu meleraikan pergaduhan,” katanya.

Menurutnya, anggota polis trafik itu menahan suspek dan membawanya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) JBS untuk siasatan lanjut sebelum dilepaskan dengan jaminan semalam.

Bagaimanapun video merakamkan insiden pergaduhan itu membabitkan durasi satu minit tiga saat mula tersebar di laman sosial Facebook (FB).

Video itu mendapat 1,407 komen, selain 1,642 kali dikongsi selepas empat jam ia dimuat naik ke laman sosial terbabit.

Sulaiman berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam serta Seksyen 323 kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan.

Disiarkan pada: December 5, 2014 @ 9:11am
d