mutakhir

Penganggur tipu bank dipenjara 12 bulan

Kuala Lumpur: Seorang penganggur dipenjara 12 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menyalahgunakan wang hampir RM100,000 di sebuah bank di Brickfields, di sini, Ogos tahun lalu.

Majistret Nor Azura Murah membuat keputusan itu terhadap Julizahisam Mt Nawi, 30, apabila tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap iaitu 29 November lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan curang mengeluarkan wang sebanyak RM96,600 daripada akaun simpanannya walaupun dia tahu bahawa wang terbabit bukan miliknya.

Julizahisam didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter juruwang Bank Rakyat Cawangan Bangsar, Brickfields pada jam 10.26 pagi, 2 Ogos tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta boleh denda jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu termasuk E-Payslip, surat pengesahan majikan, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan salinan penyata akaun simpanan sebagai dokumen sokongan permohonan pembiayaan peribadi berkenaan.

Ketika membuat permohonan pinjaman itu, dia mendakwa dirinya bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Bandaraya, Jalan Maarof, Bangsar dengan mengemukakan semua dokumen palsu terbabit.

Peguam Muhammad Syazwan Mohd Salleh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara minimum enam bulan dan satu sebatan.

“Dengan pengakuan bersalah anak guam saya, ia dapat menjimatkan kos dan masa mahkamah,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, S Ravindran memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman penjara yang setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Disiarkan pada: December 6, 2014 @ 8:54am
d