mutakhir

Warga Jerman jatuh gaung

Kuala Lumpur: Seorang lelaki warga Jerman berdepan detik cemas apabila terperangkap 20 minit dalam kenderaannya yang terjatuh ke dalam gaung sedalam hampir 10 meter.

Dalam kejadian jam 12. 30 pagi semalam, mangsa yang memandu bersendirian dikatakan terbabas ketika melalui Jalan Bukit Kiara berhampiran Pusat Sains Negara di sini.

Mangsa berusia lingkungan 50-an itu dipercayai hilang kawalan mengakibatkan kenderaan pacuan empat roda itu terbabas ke dalam gaung sedalam 10 meter.

Kemalangan itu menyebabkan kenderaan mangsa berpusing beberapa kali sebelum mangsa terperangkap di dalam kenderaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sri Hartamas Mohd Nadzri Ghafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1 pagi dan tiba ke lokasi 10 minit kemudian.

Menurutnya, anggota bomba mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan mangsa melalui pintu kiri penumpang hadapan.

Disiarkan pada: December 6, 2014 @ 8:59am
d