mutakhir

Permintaan RON97 naik 200%

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Permintaan terhadap petrol RON97 didapati meningkat sehingga 200 peratus selepas kerajaan mengumumkan penurunan harga jualan runcit bahan bakar itu pada 1 Disember lalu.

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman berkata, peningkatan mendadak daripada pengguna menyebabkan berlaku kekurangan bekalan di hampir 3,000 stesen minyak.

“Ia berlaku secara mendadak selepas diumumkan penurunan harga jualan runcit petrol RON95 RM2.26 sen seliter iaitu turun empat sen daripada RM2.30, manakala bagi RON97, turun sembilan sen kepada RM2.46.

“Kebanyakan pengguna bertukar kepada penggunaan minyak RON97 kerana perbezaan harga jualan dengan RON95 adalah kecil iaitu 20 sen,” katanya dihubungi semalam.

Hashim berkata, akibat permintaan tinggi itu, semua stesen minyak di negara ini termasuk Sabah dan Sarawak menambah bekalan minyak RON97 sehingga 100 peratus.

“Keadaan ini sekali gus mengganggu bekalan minyak itu kerana kita tidak menjangka ia (kekurangan bekalan) akan berlaku.

“Bagaimanapun, sejak beberapa hari ini kita belum menerima rungutan ketiadaan minyak RON97 kerana pengusaha mengambil langkah drastik menambah bekalan dalam kuantiti lebih berbanding sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau, kekurangan bekalan minyak RON97 baru-baru ini didakwa berpunca daripada masalah sistem penghantaran bahan api terbabit yang mengambil tempoh lama kerana minyak itu diimport dari luar negara.

Bagaimanapun perkara itu sudah dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan segera berhubung masalah itu.

“Kita ada terima laporan kekurangan bekalan minyak (RON97) di stesen minyak tetapi punca berlaku kekurangan itu disebabkan masalah sistem bekalan minyak tidak sampai.

“Pengusaha tidak boleh jika tidak ada bekalan minyak langsung di stesen minyak kerana jika ada laporan itu, mereka akan disabitkan mandatori sekali gus lesen menjalankan perniagaan stesen minyak akan ditarik balik serta-merta,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2014 @ 5:08am
d