mutakhir

'Saya mahu ubah nasib keluarga'

Seremban: “Saya mahu ubah nasib keluarga,” kata anak Orang Asli Fazri Harun, 18, yang menerima Anugerah Pelatih Terbaik menerusi program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) tajaan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Fazri yang mengikuti latihan Pemasangan dan Penyelenggaraan Elektrik Tahap Dua, antara 11 penerima anugerah terbabit daripada 106 pelatih dari Negeri Sembilan dan Melaka yang menerima Sijil Kemahiran Malaysia selepas berjaya menamatkan latihan masing-masing.

Majlis penganugerahan sijil itu disampaikan Pengarah Bahagian SLDN, JPK Cyberjaya, Mohammad Yaacob.

Menurutnya, sepanjang mengikuti latihan itu selama enam bulan, dia memberi tumpuan sepenuhnya dalam bengkel dan bertanya tenaga pengajar apabila tidak faham.

“Selain itu, saya meminati bidang pemasangan dan penyelenggaraan elektrik menyebabkan saya berusaha menimba ilmu dan mahir dalam bidang itu. Saya akan gunakan kemahiran yang diperoleh untuk bekerja.

“Saya sudah bekerja di sebuah syarikat swasta di Klang, Selangor untuk mencari pengalaman dan membantu keluarga di kampung,” kata anak sulung daripada 11 beradik yang berasal dari Bera, Pahang.

Katanya, bapanya penoreh getah manakala ibu tidak bekerja menyebabkan dia tekad untuk berjaya melalui bidang kemahiran selepas mendapat peluang mengikuti program SLDN.

Mohd Fadzliatul Fadillah Ab Rahim, 19, yang turut menerima Anugerah Pelatih Terbaik berkata, dia memilih bidang pembuat pakaian wanita kerana minatnya dalam bidang itu sejak kecil.

“Walaupun saya lelaki, saya memilih membuat pakaian wanita kerana ia mendapat permintaan tinggi di pasaran dan saya berhasrat membuka butik sendiri selepas tamat latihan.

“Saya mahu menyambung latihan ke tahap lebih tinggi untuk mencari lebih banyak kemahiran sebelum memulakan perniagaan,” katanya.

Difahamkan, sebanyak 16 pusat latihan dan 28 syarikat bekerjasama dalam pelbagai bidang di Negeri Sembilan membabitkan 257 pelatih yang berjaya menamatkan latihan dalam program SLDN.

Disiarkan pada: December 7, 2014 @ 5:08am
d