mutakhir

Kuat semangat walau lemah

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Semakin saya lemah, sekuat itulah semangat saya membara untuk belajar lebih lagi daripada rakan lain sebab saya mahu buktikan saya boleh buat macam mereka,” demikian tekad Ain Nabila Jamal, 13, yang mengalami kelumpuhan separuh badan kerana masalah tulang belakang.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia menghadapi masalah itu sejak berusia empat bulan namun kesukaran itu tidak pernah dijadikan alasan untuk bersaing dalam menuntut ilmu.

“Walaupun saya masih memakai lampin pakai buang dan dibersihkan ibu setiap empat jam sekali dan berkerusi roda, saya tidak malu kerana anggap itu cabaran.

“Rakan dan guru juga tidak mengejek, malah mereka banyak membantu saya ketika dalam kelas. Sikap mereka buatkan saya tekad belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam hidup,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Saujana, Sri Petaling itu antara 700 pelajar daripada 73 sekolah kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang menerima bantuan dalam program ‘Back To School’ 2014 anjuran bersama Yayasan Wilayah Persekutuan dan UMNO Bahagian Bandar Tun Razak.

Sumbangan beg sekolah dan wang tunai RM100 itu disampaikan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Datuk Rizalman Mokhtar.

Sementara itu, penerima Muhamad Aiman Najmi Mohd Fadli,10, gembira menerima sumbangan itu sekali gus meringankan beban ibu bapanya berikutan menanggung empat lagi adik beradiknya yang bersekolah.

“Saya gembira, dengan duit ini boleh bantu ringankan belanja ibu ayah beli baju dan kasut baru saya naik sekolah nanti,” katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2014 @ 5:09am
d