mutakhir

Tak sempat mula kerja

Chukai: “Arwah sangat gembira ditawarkan bekerja yang sepatutnya bermula Isnin ini (esok) dan saya tak sangka hasratnya itu tidak kesampaian,” kata Nora Othman, 30, kakak kepada Mohd Hisham Lokman Othman (gambar), 24, yang maut selepas motosikal Yamaha Lagenda ditunggangnya merempuh seekor lembu di Kilometer 177.7, Jalan Jerangau-Jabur, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, mangsa yang juga pelajar tahun akhir kursus pengendalian jentera di Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (PSDC), Kuantan, parah di kepala dan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Nora yang tinggal di Dungun berkata, dia menerima panggilan daripada abangnya yang tinggal di Kuantan, kira-kira jam 11 malam memaklumkan kemalangan itu.

“Selepas menerima khabar itu, saya terus pulang ke kampung. Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang, saya sekali lagi menerima panggilan memberitahu adik sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumah ibunya, semalam.

Menurutnya, adiknya itu tinggal bersama ibunya di FELDA Neram 1 dan ketika kejadian arwah dalam perjalanan dari tempat dia menjalani latihan industri di Pelabuhan Kuantan ke rumah.

“Rabu lalu arwah ada menghubungi saya dan menyatakan dia sangat gembira selepas syarikat di tempatnya menjalani latihan menawarkannya pekerjaan kepadanya.

“Arwah juga berjanji wang gaji yang diterimanya nanti untuk membeli hadiah dan menjaga ibu sampai bila-bila.

“Paling menyedihkan, dia sempat mengucapkan terima kasih kepada saya kerana banyak membantu sepanjang dia belajar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: December 7, 2014 @ 5:11am
d