mutakhir

Methampetamine boleh undang ketagihan

Kota Bharu: Dakwaan karut mengatakan dadah jenis methampetamine tidak menyebabkan ketagihan dikesan menjadi punca ramai remaja terjerat dengan penagihan pil berkenaan.

Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan Ibrahim Abdul Ghani berkata, ada juga mendakwa pil berkenaan dapat menghilangkan mengantuk dan boleh menguruskan badan hingga berani mencubanya tanpa mengetahui kesan buruk dadah berkenaan.

Menurutnya, sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 76.6 peratus atau 1,871 daripada 2,441 orang yang ditahan di negeri ini dikesan menjadi penagih methampetamine.

“Dadah berkenaan jika diambil dalam tempoh tiga bulan boleh menyebabkan kerosakan saraf berbanding heroin atau morfin.

“Maklumat terkini mendapati pil kuda itu dijual dengan harga sekitar RM13 sebiji dan mampu dibeli remaja termasuk pelajar.

“Mungkin negeri ini yang bersempadan dengan Thailand menyebabkan ia mudah diperoleh apabila diseludup masuk berbanding negeri lain,” katanya ketika ditemui pada majlis penutup Latihan Memperkasakan Jati Diri “The Level Training” di Kem Kijang, semalam.

Hadir sama, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) Datuk Mohd Yunus Pathi dan Pengarah AADK Terengganu Rohayu Ahmad.

Katanya, selain pil kuda, ancaman lain termasuk dadah jenis heroin, morfin, ganja, syabu dan amphetamin membabitkan golongan berusia antara 13 hingga 50 an.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yunus berkata, seramai 42 orang menjalani Program Memperkasakan Jati Diri itu yang pertama kali diadakan di Kelantan.

Disiarkan pada: December 8, 2014 @ 6:50am
d