mutakhir

Orang kanan ditahan

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Ipoh: Seorang lelaki berusia 50 tahun dipercayai anggota kanan Geng Mamak yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dulu, ditahan polis, di sini, jam 11.15 malam kelmarin.

Lelaki dipercayai cuba mengaktifkan semula kumpulan itu ditahan bersama seorang wanita berusia 33 tahun yang belum diketahui status hubungan mereka di kawasan Greentown, di sini.

Penahanan lelaki itu dipercayai mempunyai kaitan dengan seorang lelaki berusia 59 tahun berasal dari Gerik yang memiliki 24 rekod jenayah dan ditembak mati pasukan polis di Ampang, Selangor, pada 25 November lalu.

Mahkamah Majistret, di sini, membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki dan wanita itu selama tujuh hari bermula semalam.

Kedua-dua suspek dibawa menaiki sebuah van ke Mahkamah Majistret Ipoh jam 10 pagi dengan dikawal ketat pasukan polis lengkap bersenjata dan diiringi dua kereta peronda polis dan sebuah kereta lain.

Sementara itu, difahamkan, polis Perak akan mengadakan sidang media dalam tempoh terdekat berhubung penangkapan itu.

Disiarkan pada: December 8, 2014 @ 8:34am
d