mutakhir

Gegaran 12 artis

Oleh Michelle Gun

Shah Alam: Konsert Harian Metro (HM) Padat sempena Karnival HM Padat yang berlangsung di pekarangan Stadium Malawati, di sini meriah dengan persembahan 12 artis, malam tadi.

Konsert bermula jam 9 malam itu menampilkan persembahan pembukaan hebat daripada Hazama, Fiq dan Aweera yang menyampaikan medley lagu Madah Berhelah dan Mengapa yang dipopularkan Ziana Zain dan Nicky Astria.

Mereka diiringi komposer terkenal Ajai yang bermain piano. Ajai turut menyanyikan lagunya berjudul Aduh dan Gara Diriku duet bersama Fahmie yang juga protege penyanyi itu dalam rancangan realiti TV Mentor Legend.

Turut membuat persembahan finalis Akademi Fantasia 2014 Nuha, Asmidar, Kaka Azraff, Hyper Act, Fahmie Mentor Legend, Amelina, Syamin dan kumpulan Nidji dari Indonesia.

Konsert dimeriahkan lagi dengan gelagat pelawak popular Jihan Muse dan penyampai Hot FM, AG selaku pengacara.

Istimewanya, konsert ini turut menampilkan kemunculan kembali Ratu Dangdut tanah air, Amelina selepas beliau 15 tahun meninggalkan industri seni.

Amelina mendendangkan lagu hit Di Dadaku Ada Kamu dan Rindu. Dia turut duet lagu Seri Langkat bersama penyanyi baru, Syamin.

Hadir sama menyaksikan konsert Pengarang Kumpulan HM Datuk Mustapa Omar, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Ahmad @ Salim Bachok dan Pengarang Eksekutif (Berita dan Hal Ehwal Semasa) Shariffudin Mohamed.

Sebelum konsert, orang ramai menyerbu gerai HM untuk bertemu Amelina, Syamin dan pelakon Amar Baharin pada sesi ramah mesra peminat yang bermula jam 5.30 petang.

Disiarkan pada: December 8, 2014 @ 8:46am
d