mutakhir

Meriah! meriah!

Oleh Mohd Hasbi Sidek dan Icka S Hassan

Shah Alam: Lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan Karnival Harian Metro (HM) Padat yang bermula kelmarin, dan berakhir semalam, di tapak karnival di Bazarena, Stadium Malawati, di sini.

Suasana di tapak karnival lebih meriah semalam, dengan penganjuran pasar pagi di lokasi berhampiran serta tumpuan peminat sukan bola sepak yang datang menyaksikan perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF di antara Malaysia dengan Vietnam.

Pada sebelah petang, ribuan peminat sukan bola sepak yang memakai jersi kuning hitam yang juga penyokong Ultras Malaya membanjiri pekarangan Bazarena dan ada antara mereka mengambil kesempatan menyertai pelbagai program yang diadakan di tapak karnival.

Eksekutif Kanan Bahagian Aktiviti Penjenamaan Jabatan Pemasaran The New Straits Times Press (NSTP) Berhad Mahamad Zaidi Mat Noor berkata, suasana di tapak karnival semalam lebih meriah berikutan terdapat pelbagai program diadakan.

“Pagi tadi (semalam) ada pasar tani di kawasan sekitar tapak karnival ini dan pengunjung mengambil kesempatan singgah ke sini untuk melihat seterusnya menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Pengunjung tidak putus-putus datang dan ia semakin meningkat pada petang berikutan peminat sukan bola sepak berkumpul untuk menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Vietnam,” katanya.

Menurutnya, aktiviti seperti ‘Auto Show’ dan gusti lengan berjaya menarik ramai pengunjung berikutan ada peminat tersendiri termasuk dari luar negara.

“Penganjuran karnival kali ini mendapat sambutan menggalakkan dengan pelbagai aktiviti disediakan dan setiap aktiviti mempunyai pengikut tersendiri,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan sepanjang dua hari karnival ialah Juara Karaoke Metro, pertandingan baju aku, pertandingan mewarna kanak-kanak, demonstrasi penyelamat dan pertandingan Mengukir Botol Kaca.

Terdapat 22 petak pameran antaranya Variasi, Hati dan Arena yang mana setiap satu menyediakan pelbagai aktiviti menarik.

Malam tadi Konsert HM Padat menampilkan barisan artis tempatan dan luar negara seperti penyanyi dangdut Amelina, Ajai, Hyper Act, Nidji, Asmidar, Hazama, Fiq Mentor, Aweera, Ewal dan Nuha AF2014.

Karnival itu diadakan sebagai tanda terima kasih dan menghargai pembaca yang terus menyokong kewujudan akhbar ini sejak diterbitkan pada 1991.

Disiarkan pada: December 8, 2014 @ 8:50am
d