mutakhir

Siling DVD

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Kuala Lumpur: Penguat Kuasa Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (BKF) Kementerian Dalam Negeri (KDN) terpaksa mengambil masa lebih dua jam untuk mengesan stor khas dua tingkat di sebalik lif barang yang menyembunyikan puluhan ribu cakera padat digital (DVD) dan cakera padat Blu Ray cetak rompak di sebuah premis di sekitar Dang Wangi di sini, malam kelmarin.

Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, pemeriksaan awal hanya menemui bahan publisiti jualan iaitu salinan judul filem dan sebuah bilik khas untuk mencetak bahan berkenaan tanpa menemui sebarang DVD.

Ketika serbuan, dua penjaga premis berusia antara 30-an hingga 40-an, sedang melakukan kerja mencetak dalan bilik itu dan gagal melarikan diri.

Selepas pemeriksaan dan menggeledah secara menyeluruh, pasukan 16 pegawai dan anggota BKF KDN Wilayah Persekutuan itu menemui stor yang ditutup dengan kayu lapis di belakang lif barang, membawa kepada rampasan 31,386 DVD dianggar bernilai RM442,000.

Difahamkan, bahan itu dijual dengan harga RM10 bagi DVD biasa dan RM20 untuk DVD Blu Ray. Selepas menerima pesanan pelanggan di kaunter, pekerja akan ke stor berkenaan untuk mengambil DVD.

Pengarah BKF KDN Wilayah Persekutuan Sharifah Rohaiza Syed Rozali berkata, siasatan tidak menolak kemungkinan premis itu beroperasi sejak setahun lalu.

Disiarkan pada: December 10, 2014 @ 7:10am
d