mutakhir

Dibelasah tegur jiran bising ekzos motosikal

Georgetown: Sebuah keluarga empat beranak bertindak kejam apabila menyerang jiran hanya kerana mangsa menegur bunyi bising ekzos motosikal dalam kejadian di Ladang Sempah, Nibong Tebal di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, mangsa berusia 26 tahun patah tangan dan luka di kepala serta bahu akibat ditetak dengan parang selain dibelasah empat beranak terbabit.

Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai buruh itu pada mulanya menegur perbuatan seorang daripada ahli keluarga terbabit yang membunyikan ekzos motosikal dengan kuat.

“Mangsa mendakwa bunyi ekzos itu mengganggu bayinya berusia enam bulan yang ketika itu sedang tidur dan bayi itu juga kerap terkejut akibat bunyi bising itu.

“Dia meminta jirannya itu supaya mematikan enjin motosikal, namun tegurannya itu membuatkan suspek menjadi berang sebelum mereka bertengkar,” katanya.

Sumber berkata, pertengkaran itu kemudian mula menjadi lebih buruk apabila bapa, abang dan adik lelaki jirannya itu turut masuk campur dan mereka yang bersenjatakan parang menyerang mangsa.

“Mangsa tidak berdaya melawan menyebabkan dia ditetak dan dibelasah empat beranak itu sebelum dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan di beberapa anggota badan.

“Selain itu, seorang daripada ahli keluarga terbabit turut cedera di tangan serta bahu dan dia turut dikejarkan ke hospital,” katanya.

Menurutnya, susulan daripada kejadian itu, polis menahan semua empat beranak terbabit dan turut merampas parang panjang yang digunakan dalam pergaduhan itu.

“Siasatan awal mendapati dua daripada empat beranak berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan mangsa juga turut mempunyai dua rekod jenayah lampau.

“Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Disiarkan pada: December 10, 2014 @ 8:19am
d